Mercedes AMG Petronas menang 1, 2


Mercedes AMG Petronas menang 1, 2


PASUKAN Mercedes AMG Petronas meraikan kejayaan Lewis Hamilton (lima dari kiri) dan Nico Rosberg (empat dari kanan) di hadapan pit pasukan selepas dua pemandu itu menguasai kedudukan pertama dan kedua Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang semalam. - REUTERS
SEPANG - Mercedes AMG Pe tronas menawan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) setelah kedua-dua pemandu pasukan itu, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg menguasai kedudukan satu dan dua perlumbaan Formula Satu Grand Prix Malaysia Petronas 2014 di sini semalam.
Yang lebih manis lagi, kemenangan Hamilton di Sepang adalah yang pertama dalam kariernya setelah pencapaian terbaik pemandu Britain itu di Sepang sebelum ini ialah muncul naib juara pada 2007.
Hamilton yang gagal menamatkan saingan pada perlumbaan sulung musim ini di Australia dua minggu lalu melintasi garisan penamat dengan masa satu jam 45.390 saat, meninggalkan rakan sepasukannya, Rosberg di kedudukan kedua.
Juara dunia empat kali, Sebastian Vettel yang memandu jentera Red Bull pula ketinggalan 24.5 saat di belakang pemenang baru GP Malaysia itu setelah menamatkan saingan di tempat ketiga, manakala naib juara bagi musim 2013, Fernando Alonso dari pasukan Ferrari sekadar berpuas hati di tangga keempat.
Penguasaan Mercedes yang beraksi di ‘laman sendiri’ dapat dilihat sejak awal apabila percaturan mereka nyata menjadi dengan Rosberg yang memulakan perlumbaan di petak ketiga bertindak bijak memintas Vettel yang bermula dari grid kedua. Keadaan tersebut membuka peluang kepada Hamilton untuk selesa memecut jenteranya bagi memimpin persaingan.
Sekalipun Vettel berusaha memintas Rosberg, rakan senegaranya dari Jerman itu tidak membuka walau sedikit ruang buat juara dunia itu memberikan cabaran dan strategi tersebut membolehkan kedua-dua pemandu Mercedes itu melengkap perlumbaan di Malaysia dengan keputusan yang cukup cemerlang.
Hamilton yang mencatat kejua raan ke-23 dalam kariernya dan menerima trofi kemenangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mendedikasikan kejayaannya itu kepada ahli keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines, MH370.
"Memang hebat sekali. Buat Petronas, yang telah bekerja keras dengan Mercedes bagi memberikan kami kemenangan ini, saya berasa bersyukur terutama selepas tragedi tiga minggu lalu, saya ingin menujukan kemenangan ini kepada ahli keluarga mangsa," katanya ketika ditemu bual sebaik upacara penyampaian hadiah berakhir.
Malah, sebelum perlumbaan bermula, tetamu kehormat serta para pemandu dan penonton yang hadir telah diminta bertafakur selama seminit sebagai menghormati mangsa pesawat MH370.
Pada sidang akhbar semalam, Hamilton melahirkan rasa gembira kerana akhirnya dia berjaya juga memenangi perlumbaan di Sepang dan kejayaan tersebut, katanya, amat bermakna buat Petronas yang melakar kejuaraan di tanah air sendiri.
"Kemenangan ini amat istimewa apabila anda berjaya mencatat keputusan satu, dua. Pengalaman ini jarang sekali saya nikmati sepanjang karier saya," katanya.
Ketika ditanya mengenai Grand Prix Malaysia, jelas Hamilton, saingan di Sepang sering kali mencabar, namun kali ini perlumbaan berlangsung dalam cuaca yang kurang panas jika dibandingkan pada tahun-tahun sebelumnya.
Rosberg kini mendahului dalam senarai kedudukan pemandu selepas dua perlumbaan, setelah mengumpul 43 mata, diikuti Hamilton yang meraih 25 mata, manakala Alonso berada di tangga ketiga dengan 24 mata.
Sementara itu, bagi kedudukan pengeluar, Mercedes berada di tangga pertama (68 mata), manakala McLaren dan Ferrari masing-masing menghuni tempat kedua (43 mata) serta ketiga (30 mata).


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140331/su_01/Mercedes-AMG-Petronas-menang-1-2#ixzz3FKEQ4fiy
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment